Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis

Suatu ketika dahulu lagu "Madah Berhelah" gubahan Saari Amri yang dipopularkan oleh penyanyi Ziana Zain pernah meraih beberapa anugerah seni tanahair. Melodinya merdu, liriknya mengasyikkan pendengar. Ia menjadi kegilaan ramai. Gabungan irama dan lagu itu satu karya seni yang cukup unik dan luarbiasa.

Politik tanahair juga tidak kurang seninya. Pentas politik umpama sebuah filem yang menjadi rebutan pelakonnya meraih pangkat dan kuasa. Keadaan ini mengundang tarikan semua lapisan masyarakat dari yang tua hinggalah kepada golongan muda remaja.

Kalau dulu ia kurang diambil peduli tetapi sejak Tun Dr Mahathir melepaskan teraju kepimpinan negara kepada Pak Lah ia mula bergolak dan rakyat generasi muda umpama terpanggil untuk mengambil tahu perkembangannya.

Ini berkemungkinan kerana konflik dan kemelut yang berpanjangan melanda sehingga ke hari ini. Lanskap politik negara berubah-ubah wajah. Iklimnya tidak menentu dengan suhu yang menurun dan menaik tanpa dapat diramal. Zon keselesaan seolah-olah tidak lagi wujud. Terlalu banyak isu-isu semasa, terlalu banyak kerenah-kerenah oleh pelakon-pelakonnya. Masing-masing mencari nama, masing-masing mengejar cita-cita dan mencongak kuasa.

Negara dianggotai banyak parti-parti politik yang dibintangi pelakon-pelakon (pemimpin) dari semua bangsa majmuk yang ada. Ada parti mewakili kaum Melayu, kaum Cina, kaum India, bumiputera Sabah, bumiputera Sarawak dan sebagainya. Juga tidak kurang parti yang mewakili semua kaum. Semua parti bertanggapan merekalah parti terbaik untuk perjuangan rakyat.

Bagi kaum Melayu beragama Islam, kita hanya mempunyai dua buah parti sahaja iaitu UMNO dan PAS. Perjuangan UMNO berlandaskan membela nasib kaum Melayu dan menegakkan Islam sebagai agama rasmi negara sementara PAS dengan halatuju memperjuangkan Islam semata-mata.

Malangnya parti ini tidak duduk sebumbung disebabkan ideologi berbeza. UMNO meletakkan Melayu itu sinonim dikaitkan sebagai Islam tetapi PAS pula mengatakan Islam tidak sinonim untuk dikaitkan dengan Melayu sahaja.

Mungkin kerana platform inilah agaknya PAS sentiasa menggemari rentak irama "Madah Berhelah". Ketertarikan terhadap lagu "Madah Berhelah" bagai tidak dapat disembunyikan lagi oleh pelakon-pelakonnya yang sudah sebati menjiwainya.

Sentiasa ada saja akal pelakon-pelakonnya untuk menarik perhatian dan tumpuan umum. Satu demi satu idea helah diterbitkan berlandaskan sebuah parti yang membawa perjuangan Islam yang berjuang sambil memperdaya.

Tapi PAS tidak harus mengenepikan dasar perjuangan asal partinya yang lebih dikenali sebagai Parti Islam Se-Malaysia. Tunggak perjuangannya ialah Islam dan Islam tidak wajar dijadikan taruhan hanya kerana kuasa dan kepentingan pelakon-pelakonnya. Rakyat dijadikan mangsa kekeliruan PAS yang sering berselindung di sebalik Al-Quran dan Hadis.

Hari ini PAS semakin ketara memperlihatkan sikap tamak-halobanya terhadap kuasa politik. Demi meraih sokongan golongan Cina dan India, PAS terus berdolak-dalik lagi kepada rakyat. PAS dengan slogan baru "PAS For All" maju selangkah lagi untuk memberi ruang secara lebih terbuka kepada calon-calon bukan Islam menggunapakai lambang bulan purnama dalam pilihan raya.

Buat pertama kalinya pada PRU12 lalu PAS membenarkan calon bukan Islam daripada PKR menggunakan lambangnya semasa bertanding di kawasan kerusi milik PAS di DUN N.18 - Seri Medan dalam Parlimen P.147 - Parit Sulong, Johor. Bagaimanapun calon tersebut, Saja @ Mearaj Patani tewas kepada Ahmad Zahri Jamil dari UMNO-BN.

PAS juga menunjukkan minatnya untuk membuka keahlian kepada orang-orang bukan Islam sebagai kesinambungan daripada kelab penyokong PAS yang terdiri daripada kaum Cina dan India dan tidak menolak kemungkinan untuk berbuat demikian mengikut apa yang disuarakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub.

Tidak dinafikan walaupun ada kelebihan di pihak PAS dalam isu untuk memajmukkan keahlian parti itu tetapi jika ini terlaksana maka akan terwujudlah sebuah parti Islam yang tidak lagi Islam jika cadangan terbaru itu diluluskan oleh Majlis Syura PAS yang akan bersidang selepas Muktamar Tahunan parti itu bulan Jun ini.

Alasan mahu bertolak ansur bagi menyatupadukan semua kaum tidak cukup kukuh bagi PAS untuk membuka ruang terlalu luas kepada golongan bukan Islam menyertainya. Tindakan ini jelas mempersenda-sendakan agama Islam kerana PAS adalah Parti Islam Se-Malaysia yang wajib dianggotai oleh golongan Islam sahaja.

Dalam hal ini sudah menjadi kewajipan kepada kita sesama Islam untuk menegur kepimpinan PAS yang semakin hari semakin keterlaluan seolah-olah Islam itu hak mutlak mereka. Cadangan ini wajib dikaji semula dengan lebih teliti. PAS perlu peka dan prihatin isu-isu sensitif berkaitan Islam.

Kalau PAS mahu mempertahankan cadangan ini maka parti PAS wajib dibubarkan atau dimansuhkan terus dan mereka wajar mendaftar sebuah parti gabungan baru jika berminat mewujudkan keahlian berbilang agama dan kaum sepertimana PKR dan DAP.

PAS yang sebelum ini mewujudkan kontroversi dalam kempen pilihan raya kecil Bukit Selambau dan Bukit Gantang dengan membiarkan wakil bukan Islam memelodikan sepotong ayat suci Al-Quran di pentas PAS, wajar beristighfar dan kembali mempertahankan kesucian agama Islam daripada dipersendakan oleh golongan kafir dan bukan duduk semeja merelakan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Tidak cukupkah lagi Islam disandiwarakan oleh PAS selama ini? Jadilah golongan pemimpin Islam yang luhur dan benar-benar bertanggungjawab mendarjatkan kesucian Al-Quran dan Hadis. Kaedah dan tertib mengislamkan orang kafir ada caranya. Bukan sepertimana yang berlaku dan dihalalkan oleh PAS itu yang lebih bermotifkan politik.

Bertaubatlah sebelum terlambat.

0 Responses