Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis

Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menaiki kenderaan rasminya selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, Kuala Lumpur bagi menyerahkan surat melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan memohon perkenan Seri Paduka melantik timbalannya Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai penggantinya. Foto oleh: Azman Firdaus

Esok, Jumaat, 3 April 2009: Istana Negara telah mengesahkan bahawa Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bakal mengangkat sumpah menjawat jawatan Perdana Menteri ke-6 menggantikan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang telah pun menghadap YDP Agong menyerahkan surat pelepasan jawatan utama itu pagi tadi.

Bermakna proses peralihan kuasa berjalan dengan lancar dan tidak sebagaimana yang pernah didesas-desuskan sebelum ini kononnya ia mungkin terganggu dan berlakunya komplikasi yang menyulitkan.

Berikut ini dimuatkan petikan berita penuh daripada agensi berita Bernama yang dilaporkan hari ini.

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara di sini bagi menyerahkan surat melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan memohon perkenan Seri Paduka Baginda melantik Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai penggantinya.

"Terserah kepada Tuanku," kata Abdullah kepada pemberita selepas majlis hampir satu jam itu.

Abdullah tiba di Istana Negara pada jam 10 pagi dengan menaiki Proton Perdana rasminya bernombor WCH 13 dan meninggalkan kawasan istana satu jam kemudian sambil melambai-lambai ke arah sekumpulan 70 petugas media termasuk wartawan asing yang berkumpul di situ sejak 7.30 pagi.

Ia juga menarik perhatian pelancong asing yang turut berada di situ.

Najib pula tiba di Istana Negara untuk menghadap Seri Paduka kira-kira setengah jam selepas Abdullah meninggalkan istana.

Selepas mengadakan pertemuan dengan Seri Paduka kira-kira 45 minit, Najib meninggalkan istana tanpa menjawab sebarang soalan daripada pemberita mengenai pertemuan empat mata mereka.

"Terima kasih," katanya sambil tersenyum meninggalkan perkarangan istana dengan menaiki kenderaan Proton Perdana bernombor WRP 11 kira-kira 12.15 tengah hari, selain melambai-lambai ke arah sekumpulan media.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dalam satu kenyataan semalam berkata Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya istiadat mengangkat sumpah jawatan Najib sebagai Perdana Menteri diadakan pada jam 10 pagi esok di Istana Negara.-- BERNAMA

Maka desas-desus propaganda yang berbau hasutan oleh pihak pembangkang khususnya Anwar Ibrahim yang sedaya-upaya cuba menghalang Najib menaiki ke takhta Perdana Menteri keenam negara kini terkubur layu dengan penuh kekecewaan. Apakah Anwar kini dalam ketakutan dengan bayangannya sendiri?

Kita berharap Perdana Menteri keenam ini dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih berhemah. Dalam suasana kegawatan ekonomi sedunia ini kita berdoa semoga Dato' Seri Najib mampu menangani masalah kelembapan ekonomi yang turut dirasai oleh rakyat jelata.

Gabungan Najib-Muhyiddin diharapkan dapat memperteguhkan lagi kerajaan Barisan Nasional di dalam memacu pembangunan negara dan kemajuan ekonomi rakyat berbilang kaum khususnya ke arah memartabatkan ekonomi bangsa Melayu yang jauh ketinggalan di belakang.

Banyak pihak mencadangkan agar mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dilantik sebagai penasihat kerajaan amatlah dialu-alukan demi kemajuan bersama memandangkan buah fikiran Tun yang bernas masih diperlukan oleh pelbagai lapisan masyarakat di negara kita.

Semoga saranan pelbagai pihak supaya Tun Dr Mahathir dilantik sebagai penasihat kerajaan ini diberikan perhatian serius oleh Dato' Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin.

1 Response
  1. Darfis Says:

    Gandingan Najib dan Muhyidin diharap dapat mengorak langkah memacu pembangunan negara Malaysia ke arah lebih maju ke hadapan. Andai kata gandingan ini gagal tidak mustahil mereka akan dicemuh sepertimana yang menimpa Pak Lah sehingga pak lah menghadapi pelbagai tekanan. Apa pun kita tunggu dan lihat sahaja.