Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis

Dengar khabar di Parlimen kepoh di kalangan wakil-wakil rakyat berborak empat calon Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ini dikaitkan dengan politik wang. Katanya mereka ini bakal dihadapkan ke Lembaga Disiplin UMNO dan SPRM.

Wakil rakyat yang bercakap tu wakil rakyat BN atau wakil rakyat pembangkang?

Persoalannya betul ke atau saja nak memangsakan mereka supaya digugurkan daripada bertanding dalam pemilihan UMNO yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi yang bakal bermula pada 24 - 28 Mac 2009 nanti? Kalau benar kesemua mereka atau ada di antaranya memang terlibat, apa lagi nak ditunggukan? Janganlah membuang masa atau merugikan UMNO.

Bertindak sajalah jika benar-benar mahu memulihkan semula imej UMNO. Buat apa disimpan pemimpin-pemimpin perasuah. Seandainya benar maka saya menyokong penuh agar tindakan tegas diambil ke atas mereka ini. Jika tidak benar maka berhati-hatilah sesiapa yang membawa khabar angin ini.

Blog pemimpin pembangkang kata cerita ini "Panas! Panas!" ketika di perkarangan Dewan Rakyat. Sama macam goreng pisang panas-panas ke? Benar ke bagai dikata itu atau saja-saja munafik menokok tambah cerita supaya goreng pisang panas tadi menjadi lebih rangup?

Sepertimana yang saya sendiri pernah dengar memang dua di antara calon-calon PAU di atas dikaitkan dengan politik wang iaitu saudara Khairy Jamaluddin dan Dr Khir Toyo. Di sebelah utara Semenanjung, di Sabah dan Sarawak juga angin berita ini bertiup kencang bahkan kedua-dua telinga saya mendengarnya sendiri daripada sebahagian perwakilan.

Khabarnya Dr Khir Toyo adalah di antara calon PAU yang bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO yang paling banyak menghabiskan sejumlah besar menyogok duit kepada perwakilan. Ada yang kata berjuta RM telah dibelanjakan oleh Dr Khir Toyo. Sejauh mana kebenarannya wallahu'alam.

Nak dakwa kenalah ada bukti, kalau setakat bercakap tapi saksi takut nak tampil pun nak buat apa? Selagi terima dan selagi merahsiakannya, sampai bila UMNO nak pulih kalaulah benar beliau terlibat dengan politik wang.

Sesiapa yang jujur dan ikhlas berjuang atas kepentingan agama, bangsa dan negara, yang ada menerima sogokannya silalah tampil membawa bukti dan menjadi saksi dengan rela. Tiada guna dan tiada apa-apa faedah kita menyimpan pemimpin perasuah (jika benar didapati bersalah). Membela pemimpin perasuah samalah seperti mahu melihat kehancuran UMNO itu sendiri. Fikir-fikirkanlah!


Saudara Khairy Jamaluddin pula macam mana? Ada yang mengajak kita berfikir secara logik, dari mana Khairy dapat duit yang banyak untuk menyogok perwakilan serta anak-anak buahnya yang lain? Kalau dikaji berapa sangat elaun sebagai wakil rakyat Parlimen?

Ada yang kata, sebelum beliau menjadi Ahli Parlimen lagi Khairy sudah ada begitu banyak wang malahan beliau turut dikatakan seorang jutawan hasil daripada menjadi "penganggur kehormat". Dari mana beliau memperolehi duit sebanyak itu sedangkan diketahui umum bahawa Khairy tidak memegang apa-apa jawatan penting dalam kerajaan mahu pun dengan mana-mana syarikat GLC sebelum ini? Apa bisnes Khairy buat?

Atau apakah Pak Lah begitu baik hati menanggung menantunya ini dengan segala kemewahan hasil daripada pelbagai projek-projek mega yang dilancarkan kerajaan di bawah kepimpinan Pak Lah selama 5 tahun kebelakangan ini?

Mengenai Ali Rustam dan Azalina saya kurang mengetahui untuk memberi komentar kerana saya agak kurang mengikuti perkembangan mereka. Adalah tidak adil untuk menghentam kromo selagi telinga sendiri tidak mendengar dari sumber-sumber yang boleh diterimapakai.

Apa yang paling menarik untuk kita ketahui ialah kedudukan calon-calon ini samada digugurkan daripada bertanding atau pun sebaliknya. Sama-samalah kita nantikan perkembangan selanjutnya.

0 Responses