Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh telah berpihak kepada calon PKR Dato' Seri Anwar Ibrahim yang telah berjaya mengalahkan dua orang pesaingnya iaitu calon dari AKIM dan juga calon dari BN. Syabas kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim dan kepada calon-calon yang tewas saya ucapkan takziah.

Memang sudah pun dijangkakan sejak dari awal lagi, bukannya mudah untuk menewaskan "De Facto Leader" Dato' Seri Anwar Ibrahim yang telah berjaya membentuk satu pasukan penyokong-penyokong fanatik sejak sekian lamanya terhadap kepimpinan beliau. Cakaplah apa sahaja yang memburuk-burukkan ketua mereka pun, namun penyokong-penyokong fanatik Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak akan mempedulikannya. Ketua mereka ibarat dewa yang agung kepada mereka.

Kalau mahu dibuat bedah-siasat terhadap kekalahan di Permatang Pauh baru-baru ini rasanya banyak sebab dan punca kelemahan di pihak BN sendiri yang semakin hari semakin dilihat rakyat sebagai amat meluat. Terutamanya percakapan TPM, Dato' Seri Mohd Najib Razak sendiri yang tidak boleh diterimapakai sama-sekali. Di awal kempen beliau sebut tidak mahu membawa isu kes liwat Dato' Seri Anwar dan Saiful Bukhari tetapi semasa berkempen beliau terus melalakkan isu tersebut di sana sini. Hakikatnya bukan mendapat perhatian pengundi tetapi sebaliknya mengundang kebencian pengundi di Permatang Pauh.

Sikap Dato' Seri Mohd Najib sebagai TPM ini sebenarnya amat mendukacitakan ahli-ahli Umno/BN di peringkat akar umbi yang telah merasa kurang keyakinan serta tiada lagi kepercayaan terhadap diri beliau. Sebagai ketua yang dilantik memimpin pilihanraya kecil di Permatang Pauh sepatutnya beliau lebih bersikap terbuka dan profesional dan bukannya mengambil langkah memburuk-burukkan calon parti lawan. Cara dan kaedah menghina calon parti lawan telah mengundang rasa muak dan jelek di kalangan rakyat serta seluruh pengundi di Permatang Pauh. Dari situ kita semua boleh menilai kredibiliti TPM yang sudah tidak dapat diterima majoriti rakyat.

Saya tidak mahu mengulas panjang isu kekalahan BN di Permatang Pauh baru-baru ini tetapi cukuplah untuk pucuk pimpinan tertinggi menilai apakah yang dimahukan rakyat dan apakah yang tidak diingini rakyat. Kalau PRU12 sudah diberi isyarat masih tidak diendahkan lagi maka tanggunglah apa yang bakal berlaku seterusnya tanpa perlu menuding jari kepada rakyat berbilang kaum. Rakyat sebenarnya amat jemu dan loya kepada majoriti pemimpin di peringkat tertinggi yang menerajui kerajaan pada hari ini. Jika Disember ini masih juga tiada apa-apa perubahan besar yang berlaku nescaya makin malanglah nasib Umno/BN menjelang PRU13 akan datang yang dijangka diadakan pada Januari 2013.

Hari ini Dato' Seri Anwar Ibrahim bukan lagi sebagai ketua umum atau penasihat PKR tetapi telah disahkan sebagai Ketua Pembangkang mewakili Pakatan Rakyat di Dewan Rakyat, maka sudah tentulah semangat dan kekuatan parti pembangkang semakin hari kian terserlah. Tidak mustahil akan ada ahli-ahli Umno/BN di akar umbi yang akan berhijrah ke Pakatan Rakyat jika sekiranya Umno/BN tidak melakukan sesuatu sepertimana yang telah diisyaratkan oleh rakyat pada PRU12 bulan Mac 2008 yang lalu. Penentunya akan dilihat setelah berlangsungnya nanti Perhimpunan Agung Umno pada Disember 2008 akan datang. Oleh itu berwaspadalah wahai semua pemimpin-pemimpin tertinggi Umno/BN seluruhnya.

0 Responses