Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
Kepada CEO Telekom Malaysia Berhad dan juga Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor disarankan agar membuat pemantauan segera terhadap sistem perkhidmatan yang dibekalkan oleh Telekom yang terlalu kerap memberi masalah kepada pelanggan khususnya di kawasan persekitaran Ampang. Saya juga percaya di kawasan-kawasan lain turut mengalami masalah yang sama.

Gangguan sistem telefon dan streamyx di kawasan Ampang sering diambil mudah dengan layanan sambil-lewa oleh petugas-petugas Telekom apabila aduan dibuat oleh pelanggan. Saya dan beberapa rakan di sekitar Ampang amat bosan dengan perkhidmatan Telekom yang terlalu lemah serta tidak cekap malahan suka memberi pelbagai alasan setiap kali aduan dilaporkan kepada talian 100 dan juga cawangan TM Point berhampiran.

Lebih buruk lagi keadaannya bermula pada Sabtu, 19 Julai 2008 sehingga hari ini Isnin, 21 Julai 2008 iaitu selama 72 jam (3 hari) perkhidmatan talian telefon dan streamyx tidak dapat digunakan kerana kerja-kerja membaik-pulih kabel yang langsung tiada diberi sebarang notis terlebih awal kepada semua pelanggan. Berita ini hanya diketahui dengan bantuan rakan kontraktor yang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan. Tiada sebarang makluman awal daripada pihak Telekom sendiri.

Telefonis 100 seharusnya memaklumkan perkara sebenar apabila menerima aduan daripada pelanggan tetapi gemar berjanji kosong mengatakan aduan direkodkan ke dalam sistem dan akan menghantar petugas untuk membaik-pulih dalam masa 24 jam daripada masa aduan dibuat. Setiap kali aduan dibuat, begitulah jawapan semua telefonis Telekom seolah-olah membaca satu skrip yang sama. Tidakkah itu diistilahkan sebagai berbohong namanya?

Saya percaya beratus-ratus atau beribu-ribu kediaman persekitaran yang melanggan perkhidmatan Telekom merasa kecewa dengan sikap acuh tidak acuh pihak Telekom yang tiada berbudi-bahasa untuk menghubungi pelanggan bagi memaklumkan kerja-kerja membaik-pulih akan/sedang dilakukan. Jika notis kelewatan bayaran boleh diposkan kepada pelanggan dan panggilan peringatan atas kelewatan pembayaran bil boleh disusuli, kenapa perkara-perkara lain seperti ini tidak mampu dilakukan oleh pihak Telekom?

Di dalam masalah kerugian kepada pelanggan yang tidak dapat mengoptimakan penggunaan yang dilanggani, apakah pihak Telekom bersedia menanggung apa-apa gantirugi kepada pelanggan-pelanggan mereka? Kadar sewaan talian tetap diambilkira seperti biasa, sementara kerugian untuk hari-hari yang tidak dapat digunakan tetap tiada sebarang "rebate" dipertimbangkan sedangkan kelewatan membayar hanya untuk tempoh beberapa hari tidak pernah diberi kelonggaran masa malahan pemotongan pernah dilakukan sebelum sampai tempoh matang tetapi dibuat terlebih awal beberapa hari sebelum tarikh sepatutnya.

Oleh itu kepada semua pegawai-pegawai atasan Telekom Malaysia Berhad yang terbaca paparan ini, sila ambil perhatian yang serius serta bertanggungjawablah terhadap segala pendedahan yang dibuat oleh pelanggan. Ingatlah bahawa di masa kini telah ada pelbagai perkhidmatan alternatif lain seperti Maxis, Digi, 4G-Izzi dan sebagainya untuk dimanfaatkan oleh pelanggan.

Apabila penghijrahan besar-besaran berlaku oleh pelanggan Telekom yang sedia-ada kepada perkhidmatan alternatif tersebut, sudah tentulah keuntungan Telekom akan mulai susut dan berkurangan. Dengan masalah-masalah kritikal dan ketidakcekapan yang diberikan kepada pelanggan sehingga amat membosankan ini, saya yakin dalam sedikit masa Telekom pasti akan kehilangan ramai pelanggan.

Hilangnya Kepercayaan Pelanggan

Kebelakangan ini kita sering ternampak iklan di TV tentang streamyx dan e-storage. Pertanyaan saya hanya satu sahaja. Apakah faedah dan manfaatnya jika sistem perkhidmatan yang dibekalkan sudah tidak lagi efisien? Apakah ciri-ciri keselamatan yang digambarkan itu boleh dipercayai sedangkan e-mel streamyx pelanggan pun sering diceroboh oleh kakitangan Telekom sendiri?

Jika dinafikan pencerobohannya, kenapa saban minggu terdapat banyak aduan pelanggan yang melaporkan tidak boleh membuka e-mel masing-masing? Apakah ada hantu raya yang menukarkan kata-laluan (password) pelanggan pada setiap minggu? Kenapa perkara seperti ini mesti berlaku? Walaupun setelah berkali-kali dibuat aduan oleh pelanggan, kenapa masalah ini terus berlaku kepada pelanggan? Tiadakah sebarang langkah penyelesaian terbaik dilakukan oleh pihak Telekom?

Ketahuilah bahawa pencerobohan ke atas e-mel pelanggan itu adalah satu kesalahan pecah amanah dan boleh dikategorikan sebagai satu jenayah di bawah akta multimedia jika sekiranya dibuat aduan rasmi oleh mana-mana pelanggan yang tidak berpuashati. Sumber dalaman telah melaporkan perkara ini tanpa sengaja akibat tekanan soal-jawab oleh pelanggan.

Sememangnya ia sering berlaku dan ianya dilakukan oleh penyelia dan pegawai yang bertugas pada syif malam di tiga pusat panggilan (Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Kuching, Sarawak). Mungkin akibat kebosanan berjaga malam maka jari-jemari dan minda mereka yang tidak bertanggungjawab itu menjadi sedikit gatal lalu ingin tahu perihal urusan orang lain maka dicerobohi e-mel orang lain sesuka hati mereka. Maka itu saya sarankan kepada pihak Telekom agar menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan segera ke atas penjenayah-penjenayah tersebut.

0 Responses