Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
"Cemerlang, Gemilang dan Terbilang" itulah slogan menarik yang dilaungkan dan amat dibanggakan. Adakah hanya setakat pandai melaung tanpa apa-apa usaha yang konkrit yang benar-benar mampu dimanfaatkan rakyat?

Berapa keratkah yang cemerlang? Berapa ramai yang telah gemilang? Siapakah yang sudah terbilang? Buktikan dengan fakta dan bentangkan kepada rakyat. Kami rakyat mahu tahu sejak tarikh mula slogan itu dilancarkan.


Kalau mahu ditanya dan mengupas persoalan ini, tentulah saya mahu mendengar atau membaca penulisan cerdik-pandai, cendekiawan negara, suara-suara hati Negarawan, Pemerhati-pemerhati yang sudah ternama, Profesor-profesor yang arif lagi bijaksana dan barisan-barisan yang menganggap diri mereka tergolong di kalangan orang-orang hebat belaka.

Isu ini adalah isu pokok berpandukan slogan demi mencapai matlamat. Kita perlu mengulasnya untuk dikongsikan kepada semua dan tidak hanya kepada isu-isu semasa yang dibangkitkan sahaja. Bagaimana pula dengan slogan asas itu?

Bukankah slogan itu mencerminkan usaha kerajaan dan disambut kita semua untuk dicapai? Atau hanya sekadar untuk sedap mata memandang dan dibaca kosong, hanya sesuai dijadikan halua telinga setelah dilagukan atau sekadar syok sendiri dalam lamunan?


Adakah pemimpin kita menyatakan slogan ini pada ketika mereka celik mata, celik hati dan pada masa otak benar-benar berfungsi? Jika para pemimpin kita menjawab "YA" maka kita juga ingin tahu pada persepi yang mana satu? Adakah dengan maksud keikhlasan atau lebih cenderung pada istilah "udang di sebalik batu" yang mahu mengelirukan rakyat demi kepentingan peribadi si pemimpin?

Tiada guna untuk Pak Lah (PM ketika ini) mengulas jauh soal-soal lain berkaitan isu pembangunan rakyat jika slogan asas ini pun telah tersasar dan menyimpang. Di kala pergolakan semasa ini, mungkin beliau dan Najib (TPM ketika ini) perlu tampil ke hadapan dan kupaskan persoalan ini secara terperinci kerana sebagai rakyat yang prihatin, saya meneliti setiap kata-kata itu untuk dikotakan.

Terlalu ramai rakyat yang telah menjadi mangsa kepada slogan menarik tersebut. Kita seolah-olah telah diperdayakan pucuk pimpinan. Yang hak tidak menjadi hak sebenar, dan yang bukan hak telah menjadi hak mereka-mereka yang dayus. Itulah satu daripada punca keputusan PRU12 yang lalu.

Daripada peringkat agensi-agensi IKS lah tempat bermulanya untuk rakyat berpaut ke arah menjadi usahawan cemerlang, gemilang dan terbilang. Jika terlalu banyak soal-soal "birokrasi dan rasuah" berlaku di peringkat agensi IKS ini, macam mana rakyat mahu merebut peluang yang begitu gah diwar-warkan oleh pucuk pimpinan sedangkan di peringkat bawah pun sudah gagal dan tidak lepas?

Saya turut difahamkan oleh beberapa individu yang telah dinafikan hak bersandarkan fakta nyata dan ada bukti sahih. Walaupun surat rayuan dan surat tunjuk sebab diminta namun tiada jawapan balas daripada pemimpin-pemimpin dan agensi-agensi IKS sedangkan sebagai rakyat mereka seharusnya dilayan secara adil dan keterangan wajib diberikan jika menolak permohonan.

Lebih memalukan lagi apabila Pak Lah dan Najib juga turut tidak tahu memaklumbalas surat rakyat. Ini telah jelas bahawa 2 pemimpin tertinggi ini tidak bertanggungjawab, tidak tahu menilai dan tidak menghormati hak rakyat walhal mereka yang melancarkan slogan itu.

Adilkah untuk rakyat terus menyokong sedangkan hak rakyat tidak dibela secara adil? Fikir-fikirkanlah wahai pemimpin. Jangan pentingkan diri sendiri. Pak Lah dan Najib diminta jangan bersikap "cakap tak serupa bikin" atau menjanjikan sesuatu yang "indah khabar dari rupa". Jika tidak mahu bertanggungjawab soal ini, undur saja dan beri laluan kepada pemimpin muda yang lebih layak untuk memimpin negara.

Jangan hanya "melalak tak tentu pasal" yang suatu hari nanti akan dianggap pula sebagai "menyalak". Antara "lalakan" sama oleh Pak Lah dan diikuti Najib tahun lepas (2007) berbunyi, "Jadikanlah keusahawanan dan berniaga sendiri itu sebagai kerjaya daripada mengharapkan memakan gaji di sektor awam dan swasta, di samping mampu membantu kerajaan menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada orang ramai".

Hari ini Timbalan Menteri Sumber Manusia pula turut "melalak" serupa yang bunyinya sama tidak ubah seperti itu, seakan-akan membaca "skrip lama" Pak Lah dan Najib. Jika ucapan datangnya daripada skrip dan bukan atas inisiatif atau usaha perancangan sendiri oleh mana-mana jentera kerajaan, padanlah pun "cakap tak serupa bikin". Apa yang dicakap tak mampu dilaksanakan.

Di sini saya melihat ucapan dan pelaksanaan sudah tidak ada keselarasan yang menepati sasaran sebagaimana slogan asas yang megah dilaungkan itu. Untuk mencipta apa-apa slogan bagi dilaungkan kepada rakyat, haruslah terlebih dahulu dikaji dengan setelitinya dan bukan dibuat sekadar "tangkap muat" untuk sedap disebut dan dilagukan. Nilailah dahulu kekuatan dan kemampuan diri. Jika inilah yang dipraktikkan oleh pucuk pimpinan maka ianya tidak akan sampai ke mana-mana pun.

Bagaimana mahu mencapai maksud "Cemerlang, Gemilang dan Terbilang" jika hak-hak rakyat dinafikan sedangkan rakyat sememangnya berhak memperolehinya? Adakah slogan ini sebagai asas untuk dicapai oleh hanya kelompok-kelompok tertentu sahaja yang telah dikenalpasti?

Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang baru, Datuk Noh Omar telah menyatakan hasratnya untuk benar-benar membantu usahawan-usahawan serta mencungkil semula fail-fail permohonan yang dinafikan sebelumnya oleh agensi-agensi IKS amatlah saya alu-alukan. Kenyataan beliau yang benar-benar menarik perhatian saya ialah apabila beliau mengatakan, "Tidak ada peraturan dan undang-undang yang tidak boleh diubah".

Saya benar-benar menaruh harapan tinggi agar kata-kata Noh Omar itu mampu dikotakan dan tidak hanya menjadi ucapan kosong yang tiada makna, yang bakal meninggalkan kesan yang lebih buruk lagi kepada Umno dan BN. Oleh itu celiklah mata, celiklah hati dan bukalah minda untuk membantu permasalahan rakyat kerana beringatlah bahawa tanpa rakyat, siapalah pemimpin.

Apa yang sudah berlaku pada PRU12, jadikan sebagai iktibar apabila rakyat bangkit memberontak sehingga mengubah kerajaan di beberapa negeri. Jangan sampai kerajaan persekutuan pula yang bakal diubah oleh tangan-tangan rakyat melalui kertas undi.

0 Responses