Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
Kemelut daripada keceluparan Karpal Singh baru-baru ini, membawa tindakan awal pihak polis dengan mengambil keterangan daripada beliau hari ini setelah banyak laporan polis dibuat oleh ahli-ahli Umno dan juga badan-badan NGO.

Kita amat berharap tindakan susulan daripada pihak polis akan dapat diambil segera untuk mensabitkan beliau dengan kesalahan di bawah akta hasutan berpandukan laporan-laporan polis yang telah dibuat oleh banyak pihak. Berikut ini diulangsiar laporan berita Bernama sebagai bahan rujukan untuk semua.

PULAU PINANG, 10 Mei (Bernama) -- Polis hari ini mengambil keterangan daripada Pengerusi DAP Karpal Singh dalam satu siasatan mengikut Akta Hasutan.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Salleh Mat Rasid berkata pihak polis telah mengambil keterangan Karpal yang juga Anggota Parlimen Bukit Gelugor di pejabat pemimpin DAP itu di Jalan Green Hall di sini.

"Kita akan hantar kertas siasatan itu (kepada Timbalan Pendakwa Raya) dalam tempoh dua atau tiga hari ini kerana kita akan cuba selesaikan siasatan seberapa segera seperti yang Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi inginkan," katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Ditanya sama ada Karpal akan ditahan atau didakwa, beliau berkata polis akan teliti semua laporan yang diterima dan tindakan akan diambil selepas keputusan dibuat oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya.

"Pihak pendakwa raya akan merujuk kertas siasatan itu kepada Peguam Negara, dan jika keterangan cukup, kita akan dakwa, dan (juga) sebaliknya," katanya.

Salleh berkata polis menyiasat kes itu kerana kenyataan yang dikeluarkan Karpal itu dibuat di Pulau Pinang.

"Kita siasat kes ini di sini kerana beliau keluarkan kenyataan akhbarnya di negeri ini kepada media melalui faksimili dari pejabatnya sementara bagi kes yang beliau bercakap di Parlimen, itu akan disiasat oleh polis Kuala Lumpur," katanya.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Hasutan 1948.

Karpal memberi keterangan selama dua jam kepada dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Timur Laut berhubung dua laporan polis yang dibuat, iaitu satu di Pasir Mas, Kelantan dan satu di Ipoh, Perak.

Laporan polis yang dibuat di Pasir Mas pada 25 April lepas adalah berhubung kenyataannya bahawa ucapan Tengku Mahkota Kelantan telah menghina kaum bukan Melayu manakala laporan yang dibuat di Ipoh pada 5 Mei lepas pula adalah mengenai kenyataannya bahawa Sultan Perak tidak mempunyai bidang kuasa terhadap pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Jamry Sury.

sumber Bernama melaporkan

0 Responses